KUCHING: Kes baharu dan kes kematian akibat COVID-19 di Sarawak menunjukkan tren penurunan dengan kapasiti hospital yang semakin baik sepanjang fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 6,839 kes baharu dan 41 kes kematian COVID-19 dilaporkan mulai 1 hingga 28 April 2022, berbanding 38,529 kes baharu dan 61 kes kematian yang dilaporkan pada Mac.

“Kadar penggunaan katil bukan unit rawatan rapi (ICU) dan katil ICU masing-masing 26 peratus dan 10 peratus pada minggu epid ke-16 (17 Apr hingga 23 Apr 2022).

“Berbanding dengan 40 peratus dan 36 peratus pada minggu epid ke-13 (27 Mac - 2 April),” jelas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Ooi Choo Huck dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, situasi pandemik COVID-19 yang semakin pulih di negeri itu dicapai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi COVID-19.

“Setakat 26 Apr lalu, Sarawak mencapai peratusan liputan vaksin bagi seluruh populasi pada 80.6 peratus manakala liputan dos kedua bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) adalah 91 peratus.

“Vaksinasi remaja (12 hingga 17 tahun) adalah 93.1 peratus sementara pencapaian peratusan liputan dos pertama bagi populasi kanak-kanak (5 hingga 11 tahun) adalah 79.7 peratus,” tambahnya.

Dalam pada itu, sistem kesihatan di Sarawak, katanya, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes menjelang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa 1 Mei ini dan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“JKNS sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dengan meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 yang tinggi di negeri ini untuk semua kumpulan sasar dan pemberian dos penggalak COVID-19 kedua kepada individu berisiko tinggi.

“Kami juga menyediakan bekalan ubat antiviral COVID-19 yang ditempatkan di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan, memastikan bilangan katil ICU yang mencukupi, serta hospital medan yang telah wujud di Hospital Sibu.

“JKNS juga mengekalkan kapasiti ujian yang tinggi di makmal kerajaan dan swasta serta penggunaan rapid test kit sebagai ujian pengesanan COVID-19,” jelasnya.